fb fb fb fb fb

MAWILLA 4 dibina secara berfasa - Hishammuddin

KUCHING, 6 Ogos- Markas Wilayah Laut Timur (MAWILLA 4) di Bintulu dirancang dibina secara berfasa menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan RMKe-13.

Menteri Kanan Pertahaan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataan medianya hari ini memberitahu langkah tersebut adalah bagi meningkatkan keupayaan pertahanan udara dan maritim sekali gus memastikan instalasi strategik negara di perairan Sarawak terus terpelihara daripada sebarang ancaman.

Ia merupakan antara tiga perkara utama yang dibincangkan ketika pertemuan bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kuching.

Perkara seterusnya dibincangkan adalah mengenai pengukuhan pertahanan di sempadan melibatkan atur gerak anggota dan aset Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Rejimen Sempadan (RS) mencukupi dan sedia dipertingkatkan dari masa ke masa.

Ini melibatkan keberadaan dan siap siaga di sempadan Sarawak-Kalimantan serta Sarawak-Brunei termasuk menambah 12 buah Pos Imbangan baharu yang juga akan dibincangkan bersama rakan sejawat di Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Prabowo Subianto.

Perbincangan diteruskan mengenai Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang berada di peringkat akhir perangkaan.

Antara fokus dasar ini adalah mewujudkan hub-hub industri pertahanan di seluruh negara menerusi kerjasama Kerajaan Negeri termasuk oleh Kerajaan arawak yang menunjukkan minat dan menyuarakan kesediaan untuk turut serta dan bekerjasama dengan MINDEF bagi menjayakan perancangan berkaitan industri pertahanan di Sarawak.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Sri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.


(Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Sri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang;
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia,
Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad turut serta dalam pertemuan dengan Primier Sarawak)

Media Baharu