KUCHING, 24 Mac– Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) yang bakal dibina di Muara Tebas berpotensi menjadi lokasi strategik bagi transit kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain, berkata pemilihan tapak itu dibuat berdasarkan faktor kedalaman laut semula jadi yang mencecah 14 meter serta keadaan perairannya yang tidak landai.
“Kawasan ini memenuhi keperluan operasi TLDM dan sesuai untuk menempatkan aset pertahanan maritim negara, termasuk kapal selam. Projek ini masih dalam peringkat awal perbincangan. Kami telah meninjau tapak, dan setakat ini, ia dilihat sebagai lokasi yang sangat sesuai untuk pembangunan Markas Wilayah Laut Empat TLDM di Sarawak,” katanya.
Menurutnya, kajian tapak sedang dijalankan dan cadangan itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dengan jangkaan tempoh pembinaan sekitar 36 bulan.
Jelasnya lagi, kedalaman laut dan keluasan lokasi berkenaan turut membolehkan kapal yang berukuran 100 hingga 120 meter panjang untuk berlabuh.
Projek berkenaan dijadualkan bermula seawal suku pertama tahun depan selepas kelulusan diperoleh.
Tapak cadangan tersebut dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan merupakan bekas kilang ikan yang telah terbiar sejak 1980-an.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi taklimat dan lawatan tapak di Kuching.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, serta Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Dr. Abdul Aziz Hussain.