(Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajji Noor (depan tiga, kanan) bersama orang ramai menyertai perarakan
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah dari Padang Merdeka menuju ke
Sabah International Convention Center (SICC) / BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 28 September- Sambutan Maulidur Rasul di Sabah dan Sarawak turut berlangsung meriah.
Di Sabah, lebih 10,000 orang menyertai Perarakan dan Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu hari ini.
Terdahulu, lebih 100 kontinjen terdiri jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan sempena sambutan itu sejauh kira-kira 3 kilometer dari Padang Merdeka hingga ke SICC.
Perarakan diketuai Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyaksikan peserta perarakan, yang mengenakan pakaian berwarna warni baju Melayu dan baju kurung, berselawat dan membawa sepanduk menyatakan kasih sayang kepada Rasulullah SAW.
Turut menyertai perarakan itu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Rakyat Sabah yang berbilang latar belakang agama dan kaum tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perarakan itu, malah ada yang merakam video dan gambar serta melakukan siaran langsung di media sosial masing-masing.
Tun Juhar dan peserta perarakan itu kemudian memasuki SICC untuk menyertai majlis perhimpunan berkenaan.
Di Sarawak, Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri dihadiri kira-kira 11,000 peserta mewakili 248 kontinjen.
Sambutan dimulakan dengan perhimpunan Maulidur Rasul bertempat di Padang Merdeka, Kuching.
Majlis perhimpunan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sambutan kali ini juga bersempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka yang bertemakan "Sarawak Makmur Ummah Sejahtera’"
Sambutan kemudiannya diteruskan dengan perarakan oleh para peserta yang mewakili agensi-agensi kerajaan dan swasta, badan beruniform, badan-badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah.
Perarakan dibahagi kepada dua kumpulan yang berarak ke kawasan kampung dan sekitar bandar Kuching.
(Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak diadakan di Padang Merdeka / BERNAMA)