(Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin bergambar bersama peserta program Global Buddies Jamboree/ FOTO: UPSI)
TANJUNG MALIM, 28 September- Seramai 54 pelajar luar negara menyertai program Antarabangsa ‘CAPEU-AURORA Global Buddies Jamboree’ anjuran Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (AURORA) UPSI minggu lalu.
Program julung kali ini berlangsung selama lima hari, empat malam bermula dari 23 hingga 26 September di UPSI Adventure Park.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, penganjuran program bagi menghimpun dan meningkatkan ciri-ciri bakal pemimpin masa hadapan.
"Secara tidak langsung, dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi, peranan kepimpinan dan percambahan idea dek pelbagai latar belakang dan identiti yang berbeza dari setiap peserta.
“Insya-Allah, CAPEU-AURORA 2.0 tahun hadapan, UPSI cuba menawarkan akviti yang menarik seperti melihat seladang dan rusa di pusat konservasi Sungkai, di mana tidak semua negara memiliki haiwan tersebut," katanya ketika majlis penutup program di sini.
Global Buddies Jamboree disertai 13 institusi melibatkan negara-negara di bawah Consortium of Asia Pacific Education Universities (CAPEU) seperti negara Indonesia, Thailand, Filipina, China, Pakistan, Bangladesh, Nigeria, dan China.
(Peserta melakukan aktiviti water rafting di Sungai Klah, Sungkai)
Program turut disertai rakan Global Buddies dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Petronas, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sementara itu, Pengarah IMC, Prof Khoo Yin Yin berkata, beliau berasa bersyukur dan gembira program Jamboree Capeu- Aurora yang dirancang hampir setahun berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Ujar beliau, untuk tahun hadapan, IMC cuba menarik lebih ramai peserta untuk mengikuti program seumpama ini.
“Sebelum ini, program berjalan secara online, jadi untuk tahun ini kita jalankan program berjalan secara bersemuka yang melibatkan pelbagai negara di bawah CAPEU," katanya.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program berlangsung seperti lawatan ke rumah orang Asli di Pos Tenau, aktiviti kraf dan seni tradisional melayu, water rafting, kemahiran hidup alam semula jadi, campfire, aktiviti tali tinggi dan berkayak serta trekking di Lata Perangin.