fb fb fb fb fb

Material penghadang jalan dinilai ikut iklim tempatan – Alexander Nanta

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melawat tapak projek pembinaan jalan raya dari ICQS Bukit Kayu Hitam ke CIQ Sadao, Thailand/Foto Facebook Alexander

KANGAR, 3 Mei – Kerajaan tidak ketinggalan dalam mengadaptasi bahan dan teknologi terkini bagi penggunaan penghadang jalan raya di negara ini untuk memastikan material yang digunakan sesuai dan mampu menjamin keselamatan pengguna.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua bahan dan teknologi yang digunakan akan dinilai mengikut kesesuaian dan memenuhi keperluan teknikal jalan raya agar bersesuaian dengan keadaan iklim tempatan.

“Kita sentiasa ada program untuk melihat bahan dan teknologi baharu. Apabila material baharu diperkenalkan kita ambil sampel untuk tentukan kesesuaiannya kerana keadaan di negara kita berbeza cuaca panas, hujan lebat dan sebagainya.

"Tidak semestinya material yang bagus di negara lain sesuai di sini. Maksud saya, kita tidak ketinggalan dalam mengadaptasi teknologi dan material,” katanya selepas meninjau projek utama yang sedang giat dibangunkan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Sebagai contoh, Nanta berkata jalan raya di negara ini turut menggunakan teknologi keselamatan seperti di lebuh raya Karak yang dilengkapi penghadang jenis ‘roller barrier’ bagi mengurangkan impak kemalangan.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN