fb fb fb fb fb

Bekas ketua pegawai eksekutif direman bantu siasatan tuntutan palsu RM360 juta

KUALA LUMPUR, 3 Mei - Bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat direman tiga hari hingga Isnin ini, bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu bernilai kira-kira RM360 juta.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Eleanor Mako Timothy selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, lelaki berusia sekitar 40-an itu ditahan kira-kira 11 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu, bagi membuat tuntutan berjumlah kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam projek pembinaan lebuh raya bernilai kira-kira RM1.30 billion,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Zainul berkata empat individu masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita termasuk seorang bergelar Datuk Seri berusia antara 50-an hingga 70-an yang direman pada Rabu lepas, berkait kes sama telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
- Bernama

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN