fb fb fb fb fb

Masyarakat perlu cakna ketulenan ubat, produk kosmetik dalam talian

Datuk Dr Kasemani Embong

MARANG, 14 Mei- Masyarakat terutama warga emas di Terengganu perlu menitikberatkan ketulenan ubat dan produk kosmetik yang dijual di pasaran sebelum membuat sebarang pembelian.

Perkara itu disebabkan penggunaan ubat-ubatan dan produk kosmetik tidak berdaftar serta tidak bernotifikasi boleh mendatangkan kemudaratan kepada tahap kesihatan.


Pengarah Kesihatan Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, ketika ini penjualan produk berkenaan secara dalam talian semakin berleluasa.

Pada masa sama pemantauan dan serbuan akan dilakukan lebih kerap bagi mengekang perkara itu.

"Kalau kita melihat pencapaian kita pada tahun 2023, Sebanyak 548 jenis produk kesihatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi telah dirampas dengan anggaran rampasan yang bernilai RM277,643 melalui aktiviti-aktiviti serbuan kita.

"Selain itu juga sebanyak 1,353 iklan perubatan telah pun disaring pada tahun 2023. Sepanjang tahun 2023 bahagian penguatkuasaan farmasi telah pun berjaya mendakwa 44 kes dengan jumlah denda adalah RM119,200," kata Kasemani.

Terdahulu beliau menghadiri program Gerak Gempur Cakna Ubat di Kompleks Sukan Wakaf Tapai, Marang.

Dalam perkembangan sama, orang ramai boleh muat turun aplikasi FarmaChecker untuk memeriksa ketulenan ubat yang dijual di pasaran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI