fb fb fb fb fb

14 terbunuh selepas dihempap papan iklan gergasi

Foto REUTERS

MUMBAI, 14 Mei - Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh manakala 75 yang lain cedera selepas sebuah papan iklan gergasi yang saiznya lebih besar daripada sebuah kolam renang Olimpik runtuh menghempap mangsa di sini.

Sebuah rakaman video menunjukkan sebuah papan iklan gergasi yang melayang akibat tiupan angin sebelum jatuh menghempap rumah dan stesen minyak berhampiran di sebatang jalan yang sibuk di pinggir bandar Ghatkopar pada Isnin.

Ribut pasir dan hujan lebat turut dilaporkan berlaku di bandar berkenaan dan mengakibatkan kesesakan jalan raya dan menganggu jadual penerbangan di Lapangan Terbang Mumbai.

Majlis Bandar Raya Mumbai berkata sekurang-kurangnya 75 mangsa di kejarkan ke hospital akibat kejadian berkenaan. 31 mangsa dilaporkan telah dibenarkan keluar daripada hospital.

Sementara itu, agensi pemilik papan iklan tersebut dipercayai tidak mempunyai permit dari pihak Majlis Bandar Raya Mumbai bagi mendirikan papan iklan berkenaan kata pihak Majlis Bandar raya berkenaan dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu, papan iklan yang berukuran 1,338 meter persegi itu dikatakan sembilan kali lebih besar dari saiz maksimum yang dibenarkan bagi sesebuah papan iklan.

Pihak Majlis Bandar Raya Mumbai telah mengarahkan agensi terbabit bagi menanggalkan papan iklan berkenaan secepat mungkin.

"Bagi mengelakkan insiden sama daripada berulang, pihak Majlis mengarahkan agar papan iklan terlibat diturunkan dengan segera ", kata Ketua Menteri Negeri Maharashtra, Eknath Shinde dalam sebuah hantaran di X.

Dalam pada itu, terdapat 25 mangsa dan kereta yang terperangkap dalam runtuhan papan iklan berkenaan kata pegawai Majlis Bandar Raya Mumbai yang tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak mempunyai kebenaran bagi bercakap kepada pihak media.

Beberapa pasukan penyelamat seperti bomba, polis dan pasukan bencana masih meneruskan operasi menyelamat yang akan mengambil masa yang panjang berikutan pemotong gas tidak dapat digunakan di lokasi kerana terdapatnya pam minyak di kawasan berkenaan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD