SEPANG, 14 Mei- Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan dilihat setanding dengan institusi pendidikan di negara maju dengan pencapaian 26 universiti tempatan tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran dalam satu kenyataan berkata, perkara itu membuktikan kualiti pendidikan tinggi tempatan setara dengan IPT di luar negara.
"Pencapaian 26 universiti tempatan yang memasuki senarai penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini membuktikan kualiti pendidikan tinggi negara bertaraf dunia.
"Justeru, diharap masyarakat di negara ini terus yakin dengan IPT tempatan sama ada awam atau swasta kerana dalam konteks kualiti, MQA akan sentiasa memantau dan mengawal selia," katanya.
Dalam pada itu Mohammad Shatar mahu masyarakat memanfaatkan kelebihan pada institusi pendidikan tempatan menerusi penawaran pendidikan fleksibel dengan mengikuti kursus micro-credentials dan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Masyarakat juga tidak perlu bimbang kerana kualiti program itu dikawal selia oleh MQA.
"Mereka hanya perlu pastikan program yang mahu diikuti mendapat pengiktirafan daripada MQA yang boleh disemak dengan mudah menerusi Daftar Kelayakan Malaysia (MQR).
"Masyarakat juga dapat berjimat dan tidak perlu risau dengan pertukaran wang asing kerana tidak perlu ke luar negara seterusnya dapat merancakkan pusingan ekonomi tempatan dan mengurangkan wang ke luar negara," katanya.