(Foto fail)
GUA MUSANG, 23 Mei- Sebilangan besar daripada lebih 1,000 penduduk Kampung Pasir Linggi dan Kampung Aring 5, Pos Lebir di Gua Musang, Kelantan memilih untuk tinggal dalam pondok buluh ketika musim cuaca panas.
Walaupun kerajaan telah membina rumah bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun penduduk suku kaum Mendriq dan Bateq itu lebih menyukai pondok kayu atau buluh ketika ini kerana lebih dingin.
Menurut penduduk Orang Asli, sejak lebih sebulan lalu mereka tidak tahan dengan cuaca panas menyebabkan sebahagian besar penduduk tinggal dalam pondok buluh yang dibina berhampiran rumah yang dibina kerajaan.
Mereka juga terpaksa mengehadkan aktiviti di kawasan kebun dan mengawal pergerakan anak kerana terdedah kepada cuaca panas.
"Kita suka duduk di hutan pasal sejuk. Kita duduk kat luar diorang garu sebab terlampau panaslah. Kita duduk dalam hutan tepi-tepi macam nilah. Panas sekarang, dulu tak berapa. Dulu hutan daun-daun kayu ada tempat. Tapi sekarang tak ada tempat teduh dah," kata penduduk Orang Asli, Alias Panjang.
"Cuaca panas ni memang saya tak tahanlah. Kita buat rumah buluh. Waktu malam baru balik sini," kata seprang lagi penduduk, Ghani Alang.
Pos Lebir dihuni penduduk Orang Asli suku kaum Bateq dan Mendriq.
(Masyarakat Orang Asli pilih tinggal di pondok buluh ketika musim panas)