fb fb fb fb fb

Dua kategori bankrap dapat pelepasan tanpa perlu melalui bantahan pemiutang - Azalina

KUALA LUMPUR, 23 Mei - Individu bankrap yang tidak mampu menguruskan diri sendiri akibat penyakit mental serta individu berusia 70 tahun ke atas layak dilepaskan tanpa perlu melalui bantahan pemiutang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata dua kategori baharu itu layak dilepaskan melalui pengeluaran sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) bawah Pindaan Akta Insolvensi 1967.

Katanya, bagi individu bankrap yang mengidap penyakit mental perlu disahkan oleh pakar psikatiari hospital kerajaan.

"Pindaan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memelihara kebajikan bankrap. Golongan ini tidak lagi mempunyai keupayaan untuk memberikan kerjasama dan sumbangan kepada pentadbiran kebankrapan.

"Faktor kepentingan awam juga perlu diambil kira memandangkan pentadbiran kebankrapan melibatkan dana awam yang perlu digunakan dengan optimum,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata pindaan itu melibatkan Fasal 8, subseksyen 33B (2A) dengan masukan dua kategori itu sebagai perenggan (e) dan (f).


Media Baharu