fb fb fb fb fb

Masyarakat bebas rasuah perlu dipupuk dari akar umbi

(Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki)

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Pendidikan antirasuah perlu bermula daripada akar umbi ke arah melahirkan melahirkan masyarakat bebas rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya sentiasa komited dalam usaha membanteras ketirisan dan penyelewengan rasuah termasuk yang melibatkan kes berprofil tinggi.

"SPRM sentiasa telus dan profesional dalam menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak, yang didapati terlibat dalam isu penyalahgunaan kuasa mahu pun rasuah.

"SPRM bukan hanya memfokuskan untuk menyiasat kes-kes kecil tetapi termasuklah kes yang melibatkan 'ikan jerung' di negara ini.

"SPRM tidak memilih bulu dalam menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan undang-undang dapat ditegakkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Program Bicara Naratif disiarkan RTM sempena SPRM: 55 tahun memerangi rasuah.

Azam berkata, tidak timbul soal berat sebelah SPRM dapat menangani sesuatu kes.

"Unsur berat sebelah ini kadangkala ia merupakan persepsi masyarakat, kita jalankan siasatan secara telus dan profesional, kita bila menyiasat kita pastikan keluhuran undang-undang itu dipatuhi, yang selalu timbul persepsi mereka yang terlibat yang rasa kita tak patut siasat.

"Sebab itu bila kita menyiasat ada satu badan lagi yang akan menentukan dari segi integritinya iaitu Jabatan Peguam Negara, bukalah sebanyak mana kertas siasatan pun tetapi sekiranya tidak dipersetujui oleh jabatan itu sudah tentu kes itu tidak dituduh di mahkamah," katanya.

Justeru katanya, perkara itu menunjukkan bahawa prinsip pengasingan kuasa di dalam negara ini berjalan dengan begitu baik.

(Azam menjadi panel jemputan dalam Program Bicara Naratif disiarkan RTM sempena
SPRM: 55 tahun memerangi rasuah)


"Model yang kita ada ini adalah model yang diamalkan hampir keseluruhan negara di dunia, waima di Amerika Syarikat mahu pun di United Kingdom, di mana kalau tanya saya secara peribadi lah rata-rata pegawai SPRM mungkin berfikiran yang sama di mana, mesti ada semak dan imbang.

"Kita tidak boleh ada satu pusat kuasa, di mana kita yang jalankan siasatan, kita juga yang menentukan pendakwaan kes berkenaan, jadi kecenderungan saya risau saja pengawai SPRM kalau kita ada kuasa itu di mana akibat kemarahan kita, emosi kita, maka kita akan buka fail, kita siasat dan kita pasti dia kena tuduh," katanya.

Mengulas lanjut berhubung pendidikan awal berhubung rasuah di kalangan generasi muda, beliau berkata antara usaha dilakukan SPRM termasuk meletakkan elemen-elemen pencegahan rasuah di dalam buku teks peringkat sekolah rendah dan juga sekolah menengah.

"Kita telah masukkan elemen pencegahan rasuah yang elektif di peringkat universiti dan pada tahun akan datang, insyallah pada tahun depan subjek antirasuah yang wajib akan diperkenalkan di universiti-universiti," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan bangga terhadap pencapaian cemerlang SPRM bersempena ulangtahun ke-55 agensi penguatkuasaan itu.

Jelasnya reputasi cemerlang itu merupakan transformasi terbesar hasil penekanan kepada tiga strategi utama terutama dalam penguatkuasaan.

Media Baharu