fb fb fb fb fb

Masyarakat, pengamal media perlu cakna larangan pendedahan identiti kanak-kanak

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz menjadi tetamu pada program perkongsian ilmu " Sharing Knowledge Friday" di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri Kota Media.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Masyarakat umum khususnya pengamal media perlu cakna berhubung larangan pendedahan identiti kanak-kanak yang termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz berkata, prinsip melindungi identiti dan maklumat mereka bertujuan untuk menggelak daripada menjejaskan masa depan mereka yang masih berusia muda, apatah lagi jika mereka didapati tidak bersalah.

"Ia adalah satu prinsip undang-undang yang diterima pakai di seluruh dunia yang mana kita menghormati kanak-kanak ini kerana mereka mempunyai masa kehidupan lebih panjang.

"Kesilapan pada masa itu, ketika masih kanak-kanak dianggap sesuatu perkara yang boleh memberi pendidikan dan pengajaran," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu pada program perkongsian ilmu " Sharing Knowledge Friday" di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Akta Kanak-Kanak 2001 digubal bagi memastikan golongan bawah umur dilindungi daripada diskriminasi, eksploitasi atau sebarang bentuk penganiayaan termasuk pendedahan identiti mereka secara terbuka.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI