fb fb fb fb fb

Enam individu termasuk 'Datuk Seri' ditahan kes MBI International

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pada sidang media di Bukit Aman.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Enam lagi individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri ditahan, bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan melibatkan MBI International Group menerusi Operasi Northern Star.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tangkapan membabitkan lima lelaki dan seorang wanita itu, dilakukan antara 26 Julai hingga 15 Ogos oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman.

“Berikutan tangkapan ini, pasukan AMLA berjaya membekukan dan menyita aset tambahan bernilai RM97.7 juta. Antara aset yang dirampas ialah 88 akaun bank berjumlah RM10.5 juta, 398.8 juta unit saham bernilai RM86.8 juta, wang tunai RM300,000, tujuh kenderaan mewah, lima utas jam tangan mewah, dua beg tangan berjenama, enam telefon bimbit serta pelbagai dokumen berkaitan. Dengan ini, jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan setakat ini mencecah RM6.6 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan empat kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Kesemua suspek berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun direman antara empat hingga 12 hari. Mereka antaranya terdiri daripada ahli perniagaan, penjaga kebun dan akauntan kebun durian.

TUN JULIA MOHD TAHIR