fb fb fb fb fb

MASwings kini dijenamakan sebagai AirBorneo

Abang Johari Tun Openg/Facebook Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING, 12 Februari- Kerajaan Sarawak hari ini memeterai Perjanjian Jual Beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG) bagi memuktamadkan pengambilalihan MASwings, sekali gus menjenamakan syarikat penerbangan itu sebagai AirBorneo.

Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook serta beberapa menteri persekutuan dan kerajaan Sarawak.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, manakala MAG diwakili Pengarah Urusannya Datuk Kapten Izham Ismail.

Abang Johari berkata AirBorneo bersedia mewujudkan keseimbangan antara ketersambungan dan manfaat ekonomi dengan memastikan keperluan rakyat Sarawak dipenuhi sebelum mengembangkan perkhidmatannya.

"Kerajaan Sarawak akan memastikan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan terus mempunyai akses kepada perkhidmatan penting dan peluang di Sarawak serta Sabah. Melalui Perkhidmatan Udara Luar Bandar, subsidi bagi laluan kurang menguntungkan akan memastikan kawasan terpencil terus berhubung dengan dunia luar," katanya ketika berucap pada majlis itu di sini hari ini.

Sementara itu, Loke memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong usaha Sarawak melancarkan syarikat penerbangan sendiri.

"Kerajaan komited meneruskan subsidi dan komitmen kewangan bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) kepada pengendali baharu. Malah bagi tahun 2025, peruntukan sebanyak RM209 juta telah disediakan untuk tujuan tersebut," katanya.

Beliau turut optimis pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Sarawak dapat merancakkan pertumbuhan sektor penerbangan negara.

SITI AISHAH MD ISA