fb fb fb fb fb

Masjid di Kedah bakal jimat penggunaan elektrik sebanyak RM 6.5 juta setahun guna teknologi solar

Majlis Taklimat Projek Sistem Solar PV di Masjid-Masjid Seluruh Kedah di Alor Setar / MAIK

ALOR SETAR, 4 Mac- Projek Sistem Solar PV akan dilaksanakan di masjid-masjid seluruh Kedah dalam tempoh terdekat dengan nilai pelaburan sebanyak RM 22 juta.

Syarikat Bumiputera yang pakar dalam pemasangan sistem solar dan elektrikal, SG Energy Sdn Bhd (SGESB) telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) bagi melaksanakan projek tersebut.

Pengerusi SG Energy Sdn. Bhd, Izzulsali Md Ali berkata projek berkenaan akan menggunakan Program Supply Agreement Renewable Energy (SARE).

Beliau berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan bagi menggalakkan sektor komersial terlibat dalam pemasangan sistem solar tanpa sebarang kos.

Seiring itu, program tersebut akan menyokong dan membolehkan kerajaan mencapai sasaran penggunaan solar dan pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

“Melalui usahasama ini, disasarkan 300 buah masjid di seluruh negeri Kedah terlibat. Secara keseluruhannya, dianggarkan jumlah kapasiti pemasangan sebanyak 7,590.96 (kWp) dengan anggaran penjanaan solar sebanyak 10,251,591.48 (kWh/setahun).

"Berdasarkan janaan tersebut, penjimatan bil elektrik dianggarkan sebanyak RM 6.5 juta setahun,"katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Projek Sistem Solar PV di Masjid-Masjid Seluruh Kedah di Alor Setar.

Hadir sama, Ketua Bahagian Wakaf, MAIK, Syeikh Fakhrurrazi Yub dan Ketua Bahagian Pembangunan Hartanah, MAIK, Mohammad Fairus Abd Rahim.

Izzulsali berkata, melalui penjimatan yang diperolehi, masjid dapat mempelbagaikan aktiviti mengimarahkan masjid dan pembangunan ummah.

Lebih menarik, segala kos pemasangan dan penyelanggaraan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pelabur dan syarikat selama tempoh kontrak iaitu 25 tahun.

Inisiatif yang diambil oleh MAIK itu adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam usaha mengarus perdanakan peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

Pelan ini juga akan menjadi anjakan utama bagi memastikan peralihan tenaga yang saksama dan menjadikan sektor tenaga sebagai pemangkin utama dalam pembangunan sosioekonomi serta aspirasi negara dalam mengurangkan karbon pada 2040.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE