KANGAR, 5 Mac - Pusat Khidmat DUN Titi Tinggi memperuntukkan sebanyak RM12,000 kepada 120 pelajar di kawasannya untuk membeli kelengkapan sekolah sebagai persediaan kembali ke sekolah Isnin ini.
Program Kembali Ke Sekolah DUN Titi Tinggi itu memberi tumpuan kepada pelajar dalam kalangan asnaf,anak yatim dan keluarga yang kurang berkemampuan.
Menurut Exco Negeri yang juga ADUN Titi Tinggi Izizam Ibrahim, setiap pelajar yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India diperuntukkan sebanyak RM100 seorang bagi mendapatkan keperluan persekolahan.
"Inisiatif yang dilaksanakan ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa dari keluarga kurang berkemampuan yang sekali gus dapat memastikan para penjaga, ibu bapa pelajar sekolah dapat menyediakan keperluan persekolahan anak-anak dengan lebih awal sebelum persekolahan bermula." kata Izizam kepada media dalam Program Kembali Ke Sekolah bersama pelajar terpilih di Sollasix Kedai Pakaian dan Peralatan Sekolah di sini.
Bukan sahaja keperluan persekolahan, Pusat Khidmat DUN Titi Tinggi turut menyalurkan pelbagai sumbangan lain bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk khususnya keluarga yang kurang berkemampuan.