fb fb fb fb fb

Kedudukan kukuh kerajaan tarik minat pelabur asing - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths, Amanda Lacaze selepas menghadiri Mesyuarat Meja Bulat dengan pemain industri di Australia

MELBOURNE, 5 Mac - Kedudukan kukuh kerajaan sejak setahun lalu menjadi faktor utama dalam menarik minat pelabur untuk datang ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen terhadap pembaharuan institusi ketika ini, menjadikan kerajaan yang lebih stabil.

“Sejak beberapa bulan lalu, kami telah memperkenalkan pelbagai dasar baharu yang jelas, selain agenda ekonomi dalam pelan perindustrian dan peralihan tenaga.

“Saya merasakan disebabkan itulah kami berjaya memperoleh pelaburan domestik dan asing tertinggi pernah direkodkan yang mengesahkan tahap keyakinan dan kepimpinan baharu,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Meja Bulat bersama Pemimpin Industri di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tambah Anwar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diberikan mandat untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing.

“Sudah pasti kami bernasib baik, (berada) dalam rantau ekonomi paling pantas berkembang di dunia (ASEAN) di mana kami akan menjadi pengerusi tahun depan.

“Namun, terdapat dimensi baharu antaranya (Kerangka Kerjasama) ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di mana mesyuarat awal diadakan tahun lalu bersama UAE (Emiriah Arab Bersatu), Arab Saudi, Qatar dan lain-lain telah memutuskan untuk bersama lagi tahun depan.

“Justeru, saya merasakan kami sedang bergerak ke hadapan dan mendapatkan rakan baharu, kami mengalu-alukan komitmen anda hari ini dan juga pada masa hadapan untuk meningkatkan pelaburan ke Malaysia,” katanya.

Mesyuarat Meja Bulat itu disertai oleh 18 syarikat, iaitu tujuh syarikat pembuatan, tiga syarikat perkhidmatan, tujuh pengimport dan satu persatuan.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

Kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai kemajuan inisiatif yang dipersetujui bersama yang secara langsung akan menambah nilai kepada usaha merapatkan hubungan dua hala.

Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022 dan jumlah itu tertinggi dalam sejarah negara.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu, pelaburan asing adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

Prestasi cemerlang itu disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN