fb fb fb fb fb

Lebih 10 peratus anak orang asli tercicir pendidikan

CYBERJAYA, 3 Oktober - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mendedahkan lebih 10% anak orang asli tercicir daripada alam persekolahan atas pelbagai faktor antaranya logistik, masalah keluarga dan tidak mengambil berat tentang pendidikan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata meskipun kehadiran anak-anak komuniti ini lebih 80 peratus di sekolah kebangsaan namun kerajaan berusaha untuk meningkatkan lagi kehadiran pelajar komuniti itu sehingga melebihi 90 peratus.

“Banyak pandangan yang diberi tadi (dalam mesyuarat) seperti pengangkutan dan asrama penuh untuk anak Orang Asli,” katanya pada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) Bil. 1 Tahun 2022 di sini hari ini.

(Mahdzir Khalid ketika hadir mempengerusikan mesyuarat MaPOA
di Cyberjaya hari ini/FOTO Facebook Mahdzir Khalid)

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, antara isu lain yang turut dibentangkan adalah berkaitan faktor-faktor yang mempengaruhi status kesihatan masyarakat Orang Asli.

“Mengenai isu kesihatan, mereka minta kerajaan untuk memperbanyakkan lagi pusat rawatan berpusat di perkampungan orang asli bagi memudahkan urusan mereka yang tinggal di pedalaman.

“Kalau Kementerian datang untuk memberikan rawatan, boleh ke pusat berkenaan dan masyarakat di situ boleh berkumpul (untuk terima rawatan).

“Mereka juga mencadangkan perjawatan di Kementerian Kesihatan (KKM) seperti penolong pegawai perubatan (MA) yang disandang oleh orang asli di kawasan lain untuk dikembalikan ke perkampungan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, dari aspek pewartaan tanah orang asli, Mahadzir berkata setakat Disember 2021 sebanyak 40,600 hektar melibatkan 215 kampung diwartakan merangkumi penempatan kediaman, rumah ladang atau dusun buah-buahan.

Manakala 638 kampung lagi masih dalam proses pewartaan oleh kerajaan negeri.

Di Semenanjung terdapat 853 kampung orang asli dengan penempatan paling banyak adalah di Pahang, Kelantan dan Perak.

Mahdzir berkata kesemua perkara yang dbangkit dalam MaPOA itu akan dibincangkan di peringkat KPLB dan pihak berkepentingan sebelum dibawa kepada kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan dan KKM, seterusnya mesyuarat Kabinet.

MaPOA merupakan platform masyarakat orang asli untuk memberi pandangan dan maklum balas berkaitan dasar serta ruang untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit di peringkat nasional dan antarabangsa.

Media Baharu