fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia Terengganu keluarkan kompaun RM132 juta, rampas 181 bot nelayan asing

Foto Maritim Malaysia Terengganu

KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu mengeluarkan 74 kompaun bernilai RM132 juta sejak penubuhannya dua dekad lalu.

Ia melibatkan 338 tangkapan termasuk pencerobohan nelayan asing, penyeludupan rokok dan lain-lain kesalahan yang melanggar undang-undang perairan negeri.

Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata, RM11 juta nilai rampasan berjaya direkodkan termasuk 181 buat bot nelayan asing yang dirampas.

Sementara itu, sebanyak 43,407 pemeriksaan dijalankan ke atas vessel dan bot sejak 20 tahun lalu.

"Maritim Malaysia akan terus laksanakan rondaan seperti biasa untuk tingkatkan ke kawasan 'hotspot' fokus kehadiran pencerobohan nelayan asing Vietnam," kata Khairulanuar. Terdahulu beliau menghadiri perbarisan khas sempena ulang tahun agensi itu ke-20 tahun, di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, beberapa operasi akan terus diperhebat sepanjang tahun ini antaranya Op Iman, Op Naga Barat dan Op Anai-anai.

Terbaharu, Op Pelantar Merah akan diaktifkan semula susulan beberapa laporan pencerobohan di pelantar minyak yang diterima sejak Januari lalu.

Fokus diberi di kawasan tumpuan pelantar minyak dan perairan yang menjadi tumpuan nelayan asing Vietnam bagi menangani ancaman keselamatan strategik perairan negara.

TETITIA YUSOFF