fb fb fb fb fb

Orang ramai dilarang sebar video kes cabul kanak-kanak di Masjid Batang Kali

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri

IPOH, 26 Februari - Pengguna media sosial diminta menghentikan perbuatan menyebar dan berkongsi video kejadian mangsa cabul di masjid Batang Kali, Hulu Selangor pada 21 Februari lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini kerana perbuatan tersebut tidak wajar memandangkan mangsa yang merupakan kanak-kanak perempuan itu dilindungi bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kita mengharapkan ia tidak berlaku lagi. Tetapi kita ini hari-hari bercakap tidak berlaku lagi tapi masih juga berlaku. Saya harapkan ia betul-betul mereka yang berada di situ, tidaklah dengan mudah untuk mengambil berkongsikan perkara ini kepada orang lain," kata Nancy.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat zon utara, di sini.

Menyentuh mengenai kes tersebut, beliau berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu kes itu, termasuk memberi pandangan terutama isu berkaitan kebajikan mangsa serta keluarganya.

Tambahnya, pihak masjid perlu memperketatkan aspek keselamatan supaya kejadian sama tidak berulang khususnya menjelang Ramadan dan umat Islam akan menunaikan solat tarawih.

TETITIA YUSOFF