KUALA PERLIS, 4 Februari- Sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Perlis kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah yang dilarang.
Penahanan dibuat pada kedudukan sekitar 1.19 batu nautika dari barat daya Sungai Padang, Perlis sekitar pukul 8.10 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain dalam kenyataannya berkata, sebuah bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis yang sedang melakukan rondaan Op Aman dan Op Tiris 3.0 di perairan Perlis telah menghampiri bot berkenaan setelah mendapati bot berkenaan sedang leka menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit berpengkalan di Sungai Padang, Perlis sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat rawa sorong yang dikemudikan tekong dan seorang awak-awak warga tempatan.
Kedua-duanya beserta bot dan hasil laut dianggarkan bernilai hampir RM17,000 dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, Perlis untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (a) dan Seksyen 11 (3)(c).