fb fb fb fb fb

KKM teliti isu elaun tugas 'on-call' pegawai perubatan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 4 Februari- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti dan memperhalusi isu elaun tugas atas panggilan (on-call) bagi pegawai perubatan yang yang sudah 11 tahun tidak disemak.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, kementeriannya memandang serius isu berkenaan dan satu kenyataan rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat berhubung penyelesaian kepada perkara itu.

"Kita telah bincangkan dalam pasca kabinet. Kita ada satu kaedah untuk melihat semula tentang perkara itu iaitu "active call" dan "passive call"."

"Saya sudah lihat penyelesaiannya dan dalam masa terdekat kita akan keluarkan kenyataan rasmi melalui Ketua Pengarah berhubung perkara itu. Saya mohon untuk semua pihak untuk tunggu dan sabar," kata Dr. Dzulkefly kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di ibu kota, hari ini.

Program itu merupakan anjuran Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Unit Gastroenterologi dan Hepatologi, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan UKM dengan kerjasama Akademi Perubatan Malaysia (AMM).

Objektif program adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit kanser hati disamping dapat menimba ilmu lebih mendalam berkaitan kesihatan organ hati melalui forum yang berlangsung selama sehari itu.

Berdasarkan rekod, lebih 48,000 kes kanser baharu dan lebih 29,000 kematian akibat kanser dilaporkan pada tahun 2020 dalam negara dan angka itu dijangka akan meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM