PUTRAJAYA, 4 Disember- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana berjaya memacu pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN) bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim setelah setahun Kerajaan MADANI mentadbir negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, Datuk Seri Saifuddin telah berjaya menyelesaikan isu kelewatan Kapal Peronda Luar Persisir Pertama (OPV1) yang telah tertangguh hampir dua tahun untuk disiapkan.
"Kejayaan ini membuktikan Kerajaan MADANI begitu serius menyelesaikan isu yang dihadapi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) demi memastikan perairan negara selamat dan sejahtera,"katanya ketika hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan KDN sempena Sambutan Setahun KDN MADANI yang disempurnakan Datuk Seri Saifuddin, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Encik Norzam Mustapa.
Datuk Hamid turut berkata, selain menyelesaikan isu OPV1, Datuk Seri Saifuddin turut berusaha memastikan aset Maritim Malaysia ditambah dengan memberikan justifikasi kukuh kepada Perdana Menteri untuk mengumumkan peruntukan yang besar kepada agensi tersebut.
Ia, katanya bagi penambahan sebanyak sembilan buah kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas untuk digunakan bagi tujuan rondaan dan operasi di Zon Maritim Malaysia menerusi pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini.
Jelasnya, melalui pengumuman berkenaan, Maritim Malaysia bakal menggantikan kapal serta bot milik agensi berkenaan yang telah uzur sekali gus dapat meningkatkan kawalan perairan negara dengan lebih optimum.
Terdahulu Datuk Seri dalam ucapannya menyatakan hasrat untuk melihat dua lagi kapal OPV untuk siap sepenuhnya seterusnya dapat belayar sebagaimana OPV1.
Bersempena Sambutan Setahun KDN MADANI, Datuk Hamid turut merakamkan ucapan tahniah kepada jabatan dan agensi bawah KDN yang telah mencapai kejayaan berdasarkan bidang masing-masing selama setahun pemerintahan Kerajaan MADANI.