SUNGAI PETANI, 4 Disember- Dua daripada tiga buah premis yang menjalankan aktiviti memproses dan menyimpan barangan terpakai yang terlibat dalam kebakaran hingga menyebabkan letupan kuat di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah, malam tadi dipercayai beroperasi secara haram dan tidak pernah mendapat apa-apa kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar, JAS Negeri Kedah.
Manakala sebuah lagi premis mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar, EIA yang diluluskan oleh JAS Negeri Kedah pada 11 Jun 2020 bagi menjalankan proses pulih guna buangan-buangan terjadual bagi kod SW110 ( electrical and electronic waste PCB); SW 104 ( Cooper Dross); SW204 (Metal Hydroxide sludge); SW325 (Uncured resin waste-silver epoxy); dan SW422 (A mixture of schedule and non-schedule wastes wire and motor).
Bagaimanapun, premis berkenaan tidak membuat sebarang permohonan lesen untuk beroperasi selepas mendapat kelulusan EIA.
Pengarah JAS Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, ia hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawainya di lokasi berkenaan siang tadi.
Beliau berkata aktiviti yang dijalankan oleh ketiga-tiga premis tertakluk kepada aktiviti 14(b)(ii), Perintah Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, pelaksanaaan sebarang aktiviti tanpa kelulusan Laporan EIA merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (akta 127) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 34A (8) akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala peletakan atau penstoran bahan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual pula adalah kesalahan dibawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan mandatori penjara maksima lima tahun.
Selain itu, ketiga-tiga premis juga boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum bawah Seksyen 18(3), akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi daripada dua tahun atau kedua-duanya.
Jelas Sharifah Zakiah, pemantauan kualiti udara 24 jam telah dilaksanakan oleh JAS Kedah bermula hari ini dengan menggunakan peralatan Grimm dan Cerex bagi memantau kualiti udara di lokasi kejadian dan bagi mengesan jika terdapat gas pencemar berbahaya.
Siasatan di kawasan terbakar akan diteruskan menggunakan dron dan persampelan akan dijalankan selepas kebenaran pihak bomba diperolehi bagi memasuki ruang yang telah terbakar.
Sharifah Zakiah berkata demikian selepas melawat lokasi kebakaran di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah, petang tadi.
Jelas beliau, hasil siasatan dan keterangan yang diberikan oleh pemilik tanah, Lot 3846 kawasan perindustrian Bukit Selambau ini telah disewakan kepada tiga premis berbeza.
Namun kebakaran hanya melibatkan dua premis sahaja yang mana kedua-dua premis ini disyaki menjalankan aktiviti pengasingan sekerap logam dan sekerap logam yang telah diasingkan disyaki dihantar ke premis ketiga untuk aktiviti peleburan.