fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia, Petronas kerjasama lupuskan bot nelayan asing, tukun tiruan

Antara bot nelayan asing yang ditenggelamkan di perairan Kelantan

KOTA BHARU, 27 Oktober- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan dan Petronas buat pertama kali bekerjasama dalam melupuskan bot nelayan asing bersama tukun tiruan dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Mohd Norzam Mustapa berkata, ianya mencatat sejarah kerana kali pertama bot ditenggelamkan bersama tukun tiruan konkrit.

Beliau berkata, tukun tersebut diletakkan di atas bot dan bertindak sebagai pemberat untuk menenggelamkan bot tersebut.

Katanya, sebanyak 105 tukun konkrit disumbangkan oleh Petronas menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menghidupkan semula biodiversiti laut.

Menurutnya, usaha yang dilakukan pihaknya bersama syarikat carigali minyak kali ini lebih menjimatkan masa dan kos kerana dilakukan serentak berbanding sebelum ini secara berasingan.

"Saya difahamkan inilah kali pertama kita laksanakan penenggelaman kapal asing yang menceroboh nelayan kita di pantai kita beserta dengan muatan ataupun pemberat itu bersama dengan tukun tiruan konkrit yang dibina, kerana sebelum ini kita buat secara berasingan, kita tenggelamkan kapal, kita tenggelamkan konkrit dalam program berbeza, tetapi kali ini kita buat bersama-sama", katanya kepada media di Kota Bharu.

Hadir sama, Pengarah APMM Kelantan, Kepten Syed Nor Adli Syed Ab Rahman dan Pengurus Besar Kanan Petronas Peninsular Malaysia Assets (PMA) Hafiz Azzad Zubir.

Mohd Norzam berkata, sebanyak 90 bot nelayan asing yang telah dilucut taraf ditenggelamkan di perairan Kelantan dalam tempoh 5 tahun.

Katanya, masih banyak lagi bot yang akan ditenggelamkan dan ia masih dalam proses mahkamah.

ROSLINA BINTI DIN