fb fb fb fb fb

Dadah lebih RM30 juta disorok dalam kontena - Polis

Bekalan dadah yang dibawa masuk menerusi Pelabuhan Klang dalam sebuah kontena bawang dari Pakistan.

KAJANG, 27 Oktober- Hampir 500 kilogram dadah jenis syabu dan kokain yang dianggarkan bernilai lebih RM30  juta berjaya dirampas dalam tiga serbuan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata serbuan membawa kepada penahanan tujuh lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka.

Kesemuanya berusia 21 hingga 53 tahun.

Aset bernilai hampir 400,000 yang terdiri daripada enam buah kenderaan dan barang kemas turut disita.

"Bekalan dadah dibawa masuk menerusi kontena bawang dari Pakistan.

"Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari Pakistan melalui jalan laut, seterusnya dadah ini diedarkan untuk pasaran tempatan terutamanya di sekitar Lembah Klang.

"Kalau melihat kepada jumlah yang dirampas ini, saya percaya sebahagian daripadanya mungkin akan diseludup keluar dari Malaysia," katanya kepada pemberita di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM