BESERI, 6 April- Kira-kira 500 pengunjung menerima agihan Bubur Lambuk daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) Perlis.
Program dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penyewa Bazar MARA Beseri dan Persatuan Penduduk Paya Perlis.
Menurut Pengarah MARA Negeri, Mohd Azam Jamaluddin, program dilaksanakan ini bagi menyuntik semangat perpaduan di kalangan komuniti setempat serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti yang sihat dan berfaedah.
Selain itu, program ini juga sebagai tanda keprihatin MARA bagi menyantuni golongan asnaf dan warga emas ketika Ramadan kian menghampiri penghujungnya.
“Sebagai salah satu usaha kebajikan, program ini dapat memupuk kerjasama dan merapatkan hubungan antara agensi kerajaan serta persatuan penduduk dan usahawan MARA untuk bersama-sama berkongsi rezeki bersama golongan yang memerlukan", katanya yang ditemui pada Program Ramadan Bersama MARA Perlis di sini.
Terdahulu, seramai 30 peserta dari Persatuan Penyewa Beseri, Persatuan Penduduk Paya dan Kakitangan Pejabat MARA Negeri Perlis bergotong royong menyedia dan memasak bubur lambuk berkenaan dalam dua periuk besar.
Pengagihan sumbangan secara pandu lalu serta ziarah ke rumah warga emas dan asnaf disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais, bersama Timbalan Pengarah (Pembangunan) MARA Negeri Perlis, Yusri Md Yusoff .