fb fb fb fb fb

Mangsa banjir di Kedah meningkat, di Perak menurun malam ini

Setakat pukul 8.00 malam tadi, 210 penduduk daripada 63 keluarga di Kedah ditempatkan di empat PPS / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 November - Jumlah mangsa banjir di Kedah terus mencatat peningkatan manakala situasi banjir di Perak semakin pulih malam ini.

Di Kedah, satu lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman.

Setakat pukul 8.00 malam tadi, 210 penduduk daripada 63 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Tiga daripadanya di Kota Setar dan satu di Kubang Pasu.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten Mohd Adenin Suhaimi, pihaknya masih menjalankan pemantauan di kampung terjejas banjir.

Di daerah itu, jumlah penduduk yang ditempatkan PPS SK Malau kekal 31 orang daripada tujuh keluarga.

Manakala di Perak, situasi banjir di negeri itu semakin pulih.

Setakat pukul 8 malam tadi, jumlah penduduk terjejas banjir di negeri itu terus menurun kepada 187 orang daripada 54 keluarga, berbanding 217 orang pada pukul 6 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, dua PPS telah ditutup iaitu di Dewan Serbaguna Chikus dan Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta.

Sementara itu, empat PPS masih beroperasi melibatkan daerah Hilir Perak, Kerian dan Kinta.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN