PUTRAJAYA, 7 Oktober - Lebih 31,000 penerima baharu di seluruh negara merupakan tiga kelompok baharu yang layak menerima subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Kenyataan Kementerian Kewangan berkata peluasan kelayakan melibatkan lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Dengan peluasan ini, mereka kini sebahagian lebih 16 juta rakyat yang menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi,” menurut kenyataan tersebut.
Data tambahan juga sedang dimuktamadkan MOF, melibatkan pengguna bot yang tidak mempunyai lesen memandu di negeri lain, khususnya Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, MOF memaklumkan perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat dan syarikat pengendali e-hailing sedang diselaras bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu sepenuh masa.
MOF turut memberi jaminan kementerian dan agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 serta melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.