fb fb fb fb fb

Siling Zon Hijau HTAA bocor akibat hujan lebat, angin kencang

Tangkap layar video tular kejadian siling bocor di HTAA baru-baru ini

KUANTAN, 7 Oktober- Insiden kebocoran air pada siling di kawasan menunggu Zon Hijau serta Asthma Bay, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), semalam berpunca daripada kemasukan air melalui celahan bumbung akibat hujan lebat dan angin kencang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Datuk Ir Razali Kassim berkata hasil semakan turut mendapati saluran paip air hujan tidak dapat menampung jumlah air terlalu banyak terutamanya apabila berlaku hujan lebat secara berterusan.

"Akibat kejadian itu berlaku kebocoran di kawasan menunggu yang menjejaskan proses menunggu orang awam untuk mendapatkan rawatan pada waktu berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, syarikat konsesi HTAA telah menggunakan tampalan 'flashing tape' bagi menutup celahan bumbung yang berpotensi dimasuki air, selain akan melaksanakan semakan serta pembaikan lanjut terhadap bumbung dan saluran paip berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Pada masa sama, pemeriksaan keseluruhan terhadap keselamatan pendawaian elektrik turut dilaksanakan bagi memastikan fasiliti berkenaan selamat.

"Pihak HTAA memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku," katanya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA