SHAH ALAM, 5 November- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, berharap mandat yang akan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Kemuncak Tergempar Negara-negara Arab dan Islam di Riyadh, 11 November nanti membawa perubahan serta harapan baharu kepada rakyat Palestin.
Menurut Zulkifli, kesepakatan semua ahli Parlimen terhadap isu tersebut mencerminkan keharmonian serta perpaduan di Malaysia, meskipun terdapat perbezaan agama dan pandangan.
"Seluruh ahli Parlimen memberi sokongan penuh terhadap usaha yang dijalankan oleh kerajaan dan kita berharap sidang kemuncak di Riyadh kali ini akan membawa perubahan serta harapan buat saudara kita di Palestin.
"Ini adalah bukti bahawa kita mampu bersatu walaupun berbeza pandangan untuk mengangkat isu-isu penting seperti Palestin," katanya selepas merasmikan Persidangan Belia RDC di sini.
Persidangan bertajuk 'Unleashing The Potential of Youth In The Asia Pacific Region' itu turut menghimpunkan penceramah dari Indonesia, Turkiye, dan Iraq.