MANCHESTER, 7 Mei-Manchester United kini bersedia untuk aksi separuh akhir kedua Liga Europa menentang Athletic Bilbao selepas menang 3-0 pada pertemuan pertama minggu lepas.
Ia merupakan keputusan luar biasa dalam musim penuh kekacauan buat United. Dan pasukan itu kembali kepada prestasi tidak konsisten apabila tewas kepada Brentford pada Ahad menyaksikan kekalahan liga ke-16 mereka musim ini.
Pada perlawanan tersebut, pengurus Ruben Amorim membuat lapan pertukaran dalam kesebelasan utama ketika menentang Brentford, menjadikan pasukan itu antara yang termuda dalam sejarah Liga Perdana.
"Kami sedang kalah dalam Liga Perdana, kami sedang berjuang dalam Liga Europa, jadi kami perlu terima keadaan itu dan menjadikan hari Khamis sebagai perlawanan paling penting bagi kami," kata pengendali dari Portugal itu.
"Khamis adalah perlawanan paling penting. Penghujung musim ini sangat penting."
Kemenangan dalam Liga Europa tidak akan menghapuskan kekecewaan Manchester United dalam kempen Liga Perdana, namun ia bakal memberikan tempat ke Liga Juara-Juara musim 2025/26, sesuatu yang mampu mengubah masa depan kelab dari segi kewangan dan keupayaan menarik pemain.
Amorim mengakui walaupun kemenangan Liga Europa sangat penting, pasukannya masih belum bersedia untuk menyesuaikan diri dengan Liga Perdana dan Liga Juara Eropah secara serentak.
"Kami tahu perkara itu, tetapi kami perlu menang, dan kami perlu berjuang untuk menang kejohanan ini (Liga Europa), untuk menghadiahkan sesuatu kepada penyokong kami, dan untuk layak ke Liga Juara", katanya.
"Selepas itu, kita akan ada masa untuk menyediakan pasukan bagi mengharungi dua kejohanan itu. Jadi, ini satu dilema, tetapi kami tetap mahu menang."
Kejayaan United mara ke separuh akhir banyak dibantu oleh ketua pasukan Bruno Fernandes, yang menjaringkan dua gol di Bilbao dalam perlawanan yang turut menyaksikan layangan kad merah kepada pemain pertahanan Athletic, Dani Vivian, pada babak pertama.
Dalam pada itu, sekiranya Tottenham mengesahkan kemaraan mereka dan United mengekalkan kelebihan sedia ada, kedua-dua kelab Inggeris itu bakal bertemu dalam perlawanan akhir buat kali keenam menyaksikan dua kelab EPL bertembung dalam perlawanan akhir sama ada Liga Juara atau Liga Europa.
Spurs turut mengalami musim yang sukar dalam Liga Perdana iaitu berada satu tangga di bawah United dan telah tewas 19 kali dalam 35 perlawanan.
Namun jurulatih Ange Postecoglou masih mempunyai peluang untuk menunaikan janjinya bahawa beliau sentiasa memenangi trofi pada musim kedua bersama kelab, dengan harapan untuk menjulang trofi pertama Tottenham sejak 2008.-AFP.