fb fb fb fb fb

Lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Keriang

Mangsa dibawa turun oleh pihak bomba ke kaki Gunung Keriang pada pukul 9.30 malam sebelum disahkan meninggal dunia. / Foto ihsan bomba

ALOR SETAR 7 Mei: Seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Keriang, semalam.

Komander Operasi Kanan Zon 1, Kota Setar, Penguasa Bomba Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pada awalnya pihak bomba menerima panggilan terdapat seorang lelaki dilaporkan hilang pada pukul 6.15 petang.

Beliau berkata, bertindak atas laporan itu seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Ketika operasi SAR, menemui mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dipercayai terjatuh ketika mendaki Gunung Keriang," katanya.

Mohd Sofi berkata, mangsa kemudian dibawa turun oleh pihak bomba dengan kebenaran polis dan sampai di kaki gunung pada pukul 9.30 malam.

Beliau berkata, petugas Kementerian Kesihatan yang tiba mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

MOHAN CHINNASAMY