fb fb fb fb fb

Malindo Air dijenama semula kepada Batik Air

SEPANG, 11 Jun- Selepas hampir sedekad beroperasi, Malindo Air dijenamakan semula sebagai Batik Air yang menawarkan perkhidmatan penerbangan lebih kompetitif sekitar rantau Asia Pasifik.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata pelancaran pesawat Boeing 737-8 baharu milik Batik Air turut mencipta sejarah sebagai syarikat penerbangan pertama negara yang memiliki pesawat itu.

Malah, Batik Air juga akan memperkenalkan semula 17 pesawat miliknya tahun ini dalam usaha merancakkan lagi industri penerbangan.

Keupayaan pesawat yang terbang sehingga lapan jam itu, membolehkan syarikat penerbangannya meningkatkan penawaran perkhidmatan termasuk membuka laluan baharu ke Karachi, Pakistan dan beberapa destinasi.

(Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong)

Syarikat itu juga membuka semula laluan ke Melbourne, Brisbane selain memperkenal destinasi baharu seperti Phuket dan Surabaya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata kerajaan menggalakkan persaingan dalam industri penerbangan bagi merancakkan kemasukan pelancong ke Malaysia.

"Persaingan itu perlu menepati aspek yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) serta melepasi garis panduan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),

"Saya optimis persaingan sihat antara syarikat penerbangan akan membolehkan rakyat dapat memilih syarikat yang lebih jimat," jelasnya selepas melancarkan Majlis Penjenamaan Semula Batik Air di Sepang, Selangor.

Kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan juga berkembang dengan menyambungkan penerbangan dari pelbagai destinasi yang turut menyokong ekonomi negara.

Beliau berkata, ketika ini empat syarikat diberi lesen perkhidmatan udara (ASL) iaitu Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia, Batik Air dan SKS Airways. 

Media Baharu