KUALA LUMPUR, 12 November - Sebanyak 30 memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat (LoI) dimeterai antara Malaysia dan Persekutuan Rusia dalam memperkukuh bidang pendidikan tinggi kedua-dua negara di Langkawi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, berkata pemeteraian MoU itu menandakan komitmen dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, teknologi baharu, tenaga, pertanian dan pembangunan modal insan.
Menurut beliau, kerjasama ini melibatkan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik, agensi kerajaan dan swasta bersama rakan strategik dari Persekutuan Rusia.
“Antara MoU penting termasuk kerjasama akademik dan penyelidikan, pembangunan bersama program mobiliti pelajar dan pensyarah, serta pemindahan teknologi strategik yang menyokong agenda inovasi nasional,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Kedua-dua negara menandatangani MoU pada Mesyuarat Keempat Suruhanjaya Bersama Malaysia–Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JC ESTC) di Langkawi.
Zambry menegaskan bahawa kejayaan sebenar daripada pemeteraian MoU bukan sekadar pada tandatangan, tetapi bergantung kepada pelaksanaan dan hasil konkrit yang mampu memberi manfaat langsung kepada negara.
“Apa yang lebih penting selepas termeterainya MoU ini ialah pelaksanaan dan kemajuan susulannya.
“Kita mahu melihat MoU ini diterjemahkan dalam bentuk projek bersama, penyelidikan berimpak tinggi, pertukaran teknologi dan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat, hanya melalui tindakan susulan yang konsisten barulah semangat kerjasama ini membawa kemajuan bersama kepada Malaysia dan Rusia,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu membuktikan keyakinan tinggi Rusia terhadap keupayaan ekosistem pendidikan tinggi Malaysia, sekali gus membuka peluang luas ke arah perkongsian ilmu dan kemajuan teknologi bersama.