KUALA LUMPUR, 12 November – Kerajaan sedang giat merangka pelan pelaksanaan bagi Bank Data Kebangsaan yang dijadual akan bermula pada 2026, kata Timbalan Menteri Digital Wilson Ugak Kumbong.
Menurut beliau, projek strategik itu merupakan antara inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menjadikan Malaysia negara berpaksikan kecerdasan buatan (AI Nation).
Beliau berkata, NDR akan berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan pengurusan aset data berkualiti tinggi daripada semua kementerian serta agensi kerajaan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
“Buat masa ini, Kementerian Digital sedang merangka pelan pelaksanaan NDR yang dijadual bermula pada 2026, termasuk kajian menyeluruh terhadap keperluan ekosistem data negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Wilson menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail, yang ingin tahu langkah kerajaan memperkukuh tadbir urus data serta penyampaian maklumat secara bersepadu.
Beliau berkata, keutamaan kementerian ialah menetapkan dasar pengurusan data kebangsaan, memastikan keseragaman format data dan memperkukuh integrasi antara agensi dalam satu ekosistem digital.
Selain itu, integrasi NDR dengan aplikasi MyGov Malaysia membolehkan data dan maklumat kerajaan dipaparkan dalam satu platform, sekali gus mempercepat proses bantuan kepada rakyat.
Sementara itu, mengenai keselamatan dan privasi, beliau menjelaskan beberapa protokol keselamatan utama akan dikuatkuasakan termasuk penggunaan data sah serta mekanisme perlindungan pengguna yang ketat.
“Kerajaan turut menilai kemungkinan menggunakan infrastruktur sedia ada seperti Pusat Data Sektor Awam (PDSA), MyGovNet dan Government Central Data Exchange (GCDx),” katanya.
Beliau menambah, keselamatan data dijamin melalui kawalan capaian ketat serta pematuhan terhadap Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864) bagi memastikan perkongsian maklumat berjalan lancar.
Projek Bank Data Kebangsaan dijangka menjadi tulang belakang kepada agenda pendigitalan kerajaan, sekali gus memperkasa ekonomi berasaskan data dalam tempoh lima tahun akan datang.