fb fb fb fb fb

Malaysia–Mesir bincang penghantaran bantuan Ke Gaza melalui sempadan Rafah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual mengadakan perbincangan lanjut bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, esok bagi membincangkan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Semenanjung Gaza melalui lintasan sempadan Rafah.

Datuk Seri Anwar berkata, perbincangan itu akan dimanfaatkan untuk menyampaikan beberapa pandangan bagi memastikan penghantaran bantuan dapat dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Ini berita baik. Kita telah menghubungi kerajaan Mesir tentang usaha kita sama ada penghantaran bantuan kemanusiaan melalui Sumud Flotilla atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) kita yang lain.

"Kita akan memberi kerjasama. Esok tengah hari Presiden Mesir el-Sisi akan menghubungi saya sekitar pukul 2 petang.

"Dan di situ saya akan menyampaikan beberapa pandangan lain supaya apabila sempadan Rafah dibuka, untuk kita bagi bantuan kemanusiaan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan," ujar beliau yang ditemui selepas menunaikan solat jumaat di Surau Jannahtul Firdaus, PPAM Seruling di sini.

Datuk Seri Anwar turut memaklumkan pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil NGO termasuk IHSAN, Flotilla dan MERCY dua hari lalu bagi menyelaras persiapan misi bantuan tersebut.

Dalam perjumpaan tersebut, beliau mengingatkan supaya jumlah sukarelawan dihadkan bagi memastikan tumpuan utama diberikan kepada penyaluran bantuan dan keperluan logistik.

“Tidak perlu kehadiran yang ramai. Kalau doktor, mungkin perlu, tetapi bagi jurutera dan petugas lain, pihak di Gaza sudah mempunyai tenaga yang mencukupi.

"Mereka lebih perlukan kemudahan dan bekalan ubat yang sesuai, yang boleh dibeli di sana dengan lebih murah.

“Malah, pihak Gaza sendiri meminta supaya tidak terlalu ramai masuk kerana mereka mahu menjalankan tugas mereka sendiri. Jadi saya sudah ingatkan NGO supaya bantu dari sini dan tidak membebankan operasi di lapangan,” jelas beliau.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD