fb fb fb fb fb

Malaysia–Indonesia perkukuh kerjasama TVET & pendidikan tinggi

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (TENGAH) menyaksikan Majlis Pertukaran Surat Hasrat diantara UNIKL, Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia bersama Pemerintah Provinsi Jakarta dan Pemerintah Provinsi Sumatera Barat di Grand Hyatt, Jakarta

JAKARTA, 21 April- Hubungan strategik Malaysia dan Indonesia dalam sektor pendidikan terus diperkukuh menerusi pemeteraian tiga Surat Hasrat (LoI), yang disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Dua daripada perjanjian itu melibatkan kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kerajaan Provinsi DKI Jakarta serta Sumatera Barat.

Satu lagi melibatkan Education Malaysia Global Services (EMGS) bersama Kerajaan Sumatera Barat bagi menyelaras penghantaran pelajar tajaan ke institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menyifatkan langkah itu sebagai strategi penting dalam membina tenaga kerja mahir untuk masa depan, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

“Kita beri tumpuan kepada pelajar-pelajar berpotensi dari Indonesia kerana sistem pendidikan kita bukan sahaja selari dengan sistem pendidikan Komanwel yang diiktiraf antarabangsa, malah turut menekankan pendedahan dwi bahasa, Melayu dan Inggeris,” katanya.

Beliau turut menekankan kelebihan pelajar di Malaysia yang terdedah kepada kepelbagaian budaya dan penguasaan bahasa, sesuai dengan keperluan global masa kini.

Tahun lalu sahaja, lebih 11,000 pelajar dari Indonesia melanjutkan pengajian di Malaysia, dengan peningkatan permohonan sebanyak 28 peratus dicatatkan untuk tahun 2024.

Tambahnya lagi, kerjasama ini bukan sekadar memperkukuh hubungan dua hala, malah memberi nilai tambah kepada peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, khususnya dalam memacu integrasi pendidikan serantau dan melahirkan belia berkemahiran tinggi dalam era Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pertukaran Surat Hasrat antara UNIKL, Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia bersama Pemerintah Provinsi Jakarta dan Pemerintah Provinsi Sumatera Barat di Grand Hyatt, Jakarta.

Dalam pertemuan sama, Malaysia dan Indonesia turut sependapat untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan sejagat.

Kerajaan Indonesia menegaskan keperluan mendesak bagi satu gencatan senjata segera di Palestin, khususnya di Gaza, bagi menghentikan penderitaan dan kemusnahan yang berlarutan.

Malaysia pula mengekalkan pendirian tegasnya, tidak akan berganjak daripada menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Oleh yang demikian, komuniti antarabangsa perlu mengenepikan perbezaan kecil, ideologi mahupun pegangan. Sebaliknya, atas dasar kemanusiaan, kita harus mobilisasikan sokongan global untuk mencari jalan penyelesaian dan memulakan usaha rekonstruksi di Gaza,” tegas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk mempergiatkan usaha di platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN bagi mencapai penyelesaian yang menyeluruh, adil, dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE