SHAH ALAM, 21 April- Jenazah bekas wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Marlia Mohamed, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, pada pukul 10.30 pagi tadi.
Allahyarhamah, yang menghidap penyakit kencing manis sejak lebih sedekad lalu, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Shah Alam pada pukul 5.45 petang semalam. Beliau meninggalkan seorang suami dan anak lelaki berusia 16 tahun.
Sebelum dikebumikan, jenazah disolatkan dan dikafankan di Surau Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam.
Menurut anak allahyarhamah, Amar Ahya Azizul, ibunya menunjukkan tanda kurang sihat sejak dua minggu lalu dan sering tidur tanpa selera makan.
“Dalam seminggu dua ni, dia memang kurang sihat sikit, tidak lalu makan, tidur sepanjang hari,” kata Amar dengan nada sebak.
“Mama pernah cakap dekat saya dulu, kalau nak belajar tu, belajar betul-betul. Nanti bila dah besar, jangan lupa Mama.”
Anak allahyarhamah, Amar Ahya Azizul
Turut berkongsi kesedihan, ibu saudara kepada allahyarhamah, Sabariah Mohamed berkata pemergian anak saudaranya itu sangat dirasai memandangkan hubungan mereka amat rapat.
“Sepatutnya Chu (gelaran kepada arwah) yang pergi dulu, tapi susunan Allah cantik. Kita redha, kita terimalah,” katanya.
“Chu akan tercari-cari (Marlia) tiap-tiap pagi Chu datang jaga dia pukul 6.30 pagi. Sekarang dah tak ada...”
Marlia sebelum ini pernah bertugas sebagai wartawan di Bahagian Berita Ehwal Semasa, RTM, sebelum disahkan hilang upaya kekal akibat komplikasi diabetes yang dialaminya sejak tahun 2009.
Allahyarhamah juga merupakan penerima bantuan bawah inisiatif Tabung Kasih@HAWANA sebuah dana khas oleh Kementerian Komunikasi untuk membantu pengamal media yang berdepan kesulitan hidup.