KUALA LUMPUR, 24 November - Malaysia dan China memperkukuhkan kerjasama strategik dalam perdagangan minyak sawit menerusi Persidangan Two Countries, Twin Parks, yang dianjurkan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Jawatankuasa Pentadbiran Taman Industri China-Malaysia Qinzhou.
Ketua Setiausaha KPK, Datuk Yusran berkata inisiatif yang dirangka kedua-dua pihak bertujuan memperluas perdagangan minyak sawit mampan, menggalakkan pelaburan hiliran bernilai tinggi dan memacu inovasi daripada penyelidikan hingga pengkomersialan.
“Produk berasaskan oleokimia sawit merupakan komponen asas dalam industri penjagaan diri, pembersihan rumah, tekstil dan pelincir, yang menyumbang nilai tambah tinggi dalam pasaran pengguna di China dan ASEAN,” katanya ketika merasmikan persidangan bagi pihak Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Kerjasama itu juga menghubungkan Taman Industri China-Malaysia Qinzhou di Guangxi dan Taman Industri Malaysia-China Kuantan di Pahang melalui Saluran Hijau Sawit (Green Channel for Oil Palm), yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan, Klang dan Qinzhou.
Laluan strategik itu dijangka meningkatkan kecekapan logistik, memperkukuh kebolehjejakan dan pensijilan mampan serta menggalakkan pelaburan dua hala dalam industri pemprosesan hiliran.
Lebih 150 peserta menghadiri persidangan tersebut, termasuk pegawai kerajaan, pemimpin industri serta wakil syarikat Malaysia dan China daripada sektor minyak sawit, oleokimia dan tenaga boleh baharu.
Persidangan berkenaan membuka peluang bagi memperkukuh kerjasama mampan antara pemain industri, membangunkan kelompok industri oleokimia hijau, dan merancakkan pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).