KUALA LUMPUR, 24 November -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau mengikuti rapat perkembangan banjir di Malaysia meskipun berada di Kenya atas urusan rasmi.
Menurut beliau, bantuan daripada agensi-agensi berkaitan telah digerakkan untuk membantu lebih 15,000 penduduk terjejas di tujuh negeri.
"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama semua aset agensi berkaitan telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan rakyat yang masih terperangkap, di samping memastikan bantuan segera sampai kepada semua penduduk terjejas.
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga telah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan, serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan," katanya menerusi hantaran di laman media sosial beliau.
Perdana Menteri turut memberitahu, Skuad Ihsan Madani digerakkan ke semua kawasan terlibat untuk membantu menguruskan kebajikan penduduk di hampir 100 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.
"Saya menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diminta segera berpindah. Keselamatan keluarga harus menjadi keutamaan.
Dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini, saya mendoakan agar semua penduduk terjejas banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan," ujarnya lagi.