fb fb fb fb fb

Malaysia zahir kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Yaman

Foto REUTERS

PUTRAJAYA, 27 Disember – Malaysia menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan ketegangan di Yaman, khususnya susulan laporan mengenai operasi ketenteraan secara sehala serta kemaraan Majlis Peralihan Selatan (STC) di wilayah timur Hadramawt dan Al-Mahra.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan perkembangan berkenaan dibimbangi boleh mengancam keadaan keselamatan yang sedia rapuh di negara itu.

“Perkara ini dikhuatiri menjejaskan kemajuan ke arah penyelesaian politik, mencetuskan perpecahan serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi rakyat Yaman,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut memuji usaha berterusan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dalam membantu meredakan ketegangan, selain menggesa semua pemain serantau dan antarabangsa menyokong inisiatif yang bertujuan menegakkan kedaulatan, integriti wilayah serta kemerdekaan Yaman.

Dalam masa sama, Malaysia mengulangi sokongan penuh terhadap Majlis Kepimpinan Presiden dan Kerajaan Republik Yaman sebagai pihak berkuasa yang diiktiraf untuk memimpin negara itu melalui proses peralihan dan pembinaan keamanan.

Malaysia juga menegaskan kepentingan menghormati kerangka perlembagaan dan politik Yaman serta menyeru semua pihak agar kekal komited kepada dialog dan rundingan secara aman.

Menurut kenyataan itu, keamanan berkekalan di Yaman hanya dapat direalisasikan melalui rundingan konstruktif, pendamaian menyeluruh antara semua pihak serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.

Malaysia turut menegaskan solidariti berterusan bersama rakyat Yaman yang masih berdepan penderitaan berpanjangan dan keperluan kemanusiaan yang mendesak.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN