KUALA LUMPUR, 11 September – Malaysia mengulangi pendirian tegas menentang kekejaman rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin dan Qatar.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan Israel itu merupakan manifestasi kegilaan, keangkuhan dan pencabulan undang-undang antarabangsa yang telah mengakibatkan bencana serta kekejaman merentasi rantau tersebut.
"Kita sedang berdepan, seperti yang saya bincangkan pagi ini, bukan sekadar ketidaktentuan dan huru-hara, tetapi juga situasi yang menimbulkan rasa kecewa dan menjengkelkan.
"Peristiwa yang berlaku sejak beberapa hari kebelakangan ini termasuk pengeboman yang tidak berperikemanusiaan memperlihatkan bagaimana tindakan melampau sebuah negara, yang dipacu oleh kegilaan dan keangkuhan, mampu mencetuskan kemusnahan, bencana serta kekejaman merentasi seluruh rantau.
"Sudah tentu, yang paling teruk terjejas ialah Gaza, dan terkini, Qatar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2025 di sini.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa dunia Islam perlu memastikan urusan dalaman ditadbir dengan baik, termasuk menolak amalan rasuah, membanteras ketidakadilan dan ketidaksamarataan, serta memperkukuh ekonomi melalui kewangan Islam sebagai satu alternatif yang berdaya saing dan mampan.
Beliau berkata Malaysia akan terus menyuarakan kezaliman rejim zionis di pentas antarabangsa, di samping memperkukuh usaha membangunkan masyarakat yang adil, beretika dan bebas daripada penindasan.