ABU DHABI, 6 Oktober- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bakal menjadi pemudah cara untuk pelaburan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (MASDAR) di Malaysia dalam industri tenaga boleh diperbaharui (RE).
Ketetapan itu dibuat pada satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Masdar City, di sini.
Majlis tersebut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sementara di pihak MIDA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Arham Abdul Rahman dan MASDAR juga diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Muhammad Jameel Al Ramahi.
MoU berkenaan melibatkan perjanjian berjumlah AS$8 billion bagi membangunkan 10gw (gigawatt) fasiliti RE secara bersama di Malaysia menjelang tahun 2025.
MASDAR berpusat di Abu Dhabi aktif di 40 buah negara di enam benua dengan komitmen pelaburan bernilai lebih RM136 billion, menjana kapasiti tenaga lebih 20gw dan mampu memgimbangi 30 juta tan pelepasan karbon dioksida (CO2) setiap tahun.