PUTRAJAYA, 11 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat dua hala bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Perdana Putra, di sini.
Mesyuarat tersebut membincangkan perkembangan hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) Malaysia-Turkiye, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pertahanan, industri halal, tenaga, pengurusan bencana, kesihatan, sains dan teknologi.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, penganjuran Forum Diplomasi Antalya Edisi Ke-4 oleh Turkiye, isu Islamofobia, serta perkembangan terkini berhubung perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet serta pegawai kanan kerajaan.
Malaysia dan Turkiye terus mengekalkan hubungan erat yang telah lama terjalin, terutama selepas peningkatan hubungan ke peringkat CSP pada Julai 2022.
Sebagai Rakan Dialog Sektor ASEAN sejak 2017, Turkiye memainkan peranan penting dalam memajukan keutamaan ekonomi ASEAN menerusi Kawasan Kerjasama Praktikal ASEAN-Turkiye (2024-2028) yang menjadi rangka utama kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.