KUALA LUMPUR, 20 Ogos- Malaysia dan Turkiye bersedia mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pertahanan melibatkan aset-aset ketenteraan dan latihan pada masa hadapan bagi kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meluahkan komitmen itu bersama-sama Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler di ibu negara.
Kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara perlu diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi melibatkan perjanjian dalam pelbagai bidang ketenteraan.
"Adalah penting untuk kita ada kerjasama, mengatur pelbagai program dan usaha yang boleh dikongsikan agar dapat memantapkan lagi pertahanan negara masing-masing.
"Dalam konteks ini, kita sedang berusaha mengadakan dan menyediakan perjanjian untuk dimeterai kedua-dua negara bagi membolehkan hasrat ini tercapai," katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat delegasi Turkiye di Kementerian Pertahanan di sini.
Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler mengetuai delegasi 17 orang sebagai lawatan balas terhadap kunjungan rasmi pertama Mohamed Khaled ke Ankara, Turkiye pada 11 Jun lepas.