fb fb fb fb fb

Projek RTS Link, kini capai 83 peratus kemajuan infrastruktur

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR, 20 Ogos- Projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura, kini telah mencapai kemajuan infrastruktur pada tahap 83 peratus, setakat Julai 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata proses pembinaan infrastruktur itu berjalan mengikut jadual dan dijangka mula beroperasi pada 1 Januari 2027.

"Akses kepada pengendali RTS Link demi pemasangan sistem, dijangka dapat dilaksanakan pada akhir tahun ini."

"Persiapan infrastruktur rel juga akan membolehkan RTS memulakan kerja-kerja pemasangan sistem yang merangkumi 'track work', 'stork', sistem isyarat dan bekalan kuasa serta pengedaran (distribution)," kata Anthony kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ruang Letak Kereta antara Malaysia Rapid Transit System (MRTCorp) dan Coronade Properties Sdn Bhd di Kuala Lumpur.

Bagi pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) juga turut berjalan seperti dijadualkan dan pemasangan peralatan dan sistem di CIQ dijangka dapat dimulakan pada Ogos 2025.

RTS Link ialah perkhidmatan ulang-alik transit aliran ringan empat kilometer antara stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura.

Rangkaian berkenaan dijangka akan digunakan 10,000 penumpang setiap jam, setiap arah dan jangkaan sekitar 40,000 penumpang setiap hari apabila ia beroperasi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM