fb fb fb fb fb

Malaysia, Turkiye bakal bekerjasama dalam teknologi angkasa

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), telah memulakan perbincangan mengenai kerjasama dua hala antara Malaysia dan Turkiye dalam teknologi angkasa. 

Malah, menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup, ia menumpukan aspek perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat bagi melahirkan tenaga mahir tempatan dalam teknologi pembuatan satelit. 

Ke arah membangunkan industri angkasa negara, MIGHT telah menubuhkan Malaysian Space Industry Corporation (MASIC) bagi menghimpunkan pemain industri angkasa tempatan.

"Sehingga kini, sebanyak 10 syarikat teknologi angkasa tempatan telah bergabung membentuk MASIC dengan matlamat mewujudkan ekosistem industri angkasa yang dinamik yang mempromosikan keupayaan angkasa Malaysia, di samping menarik pelaburan, bakat dan perkongsian daripada seluruh dunia," kata Arthur ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse di Dewan Rakyat di sini.

Dewan juga diberitahu, kajian ekosistem industri angkasa tempatan turut dilaksana di bawah Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 dikenali sebagai Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030)

MSE2030 bertujuan mengenal pasti ketersediaan dan kemampuan penglibatan industri tempatan dalam aktiviti sektor angkasa negara bagi memacu pertumbuhan sektor angkasa negara.

Ia juga dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi baharu dan strategik.   

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM