KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Tujuh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) telah dibentangkan melibatkan pengauditan di peringkat Persekutuan dan Negeri sepanjang tempoh 2020-2021.
Pengauditan tersebut merangkumi 24 isu di pelbagai kementerian, agensi serta jabatan di peringkat Persekutuan dan Negeri yang membabitkan ketirisan kehilangan wang awam serta pembaziran yang serius.
Perkara tersebut dijelaskan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.
Antara isu-isu berbangkit adalah kelemahan pengurusan kontrak, pengurusan perolehan, pengurusan program projek dan kelemahan pengurusan wang zakat serta ketidakpatuhan terhadap peraturan.
Setakat 30 Oktober lalu, 12 isu telah selesai disiasat melibatkan dua isu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 10 isu melibatkan siasatan oleh Jawatankuasa Khas Siasatan dan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"12 isu lagi masih dalam siasatan melibatkan siasatan lima isu oleh SPRM, enam isu oleh PDRM dan satu isu oleh Malaysia Competition Commission (MyCC).
Berdasarkan siasatan yang telah dilaksanakan sehingga kini, seorang penjawat awam telah dituduh di mahkamah pada 16 April 2023, bawah Seksyen 23/1 Akta MACC 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 dan 25 orang penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib," kata Ramkarpal di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan wakil Taiping, Wong Kah Woh di Parlimen.
Beliau menambah, LKAN perlu dibentangkan secara berkala kepada jemaah menteri supaya setiap isu yang dilaporkan dapat diambil tindakan dengan lebih berkesan oleh setiap jabatan mahupun agensi terlibat.